Tuesday, February 24, 2009

Timung Cine dan Rojok Keling

Timung Cine dan Rojok Keling

Makanan berasaskan bangsa? Mengapa orang-orang di Terengganu menamakan Tembikai sebagai Timung Cina, dan rojak mee kuning berkuah kacang-sama mirip kuah sate ( ada ayam goreng atau tidak ) dipanggil dengan Rojok Keling?

Mungkin satu kesimpulan atau teori sendiri boleh dibuat. Tembikai-tembikai banyak ditanam oleh petani berbangsa Cina-mungkin, menanam di seluruh sekitar negeri Terengganu ini. Rojok Keling pula jika dilihat di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia, rojak mee berkait rapat dengan bangsa India terutama India Muslim yang menjualnya sama ada gerai lori, gerai/warung tepi jalan, kedai makan mamak ber-astro tv besar yang ada kipas keluar air atau bistro 24 jam. Mungkin orang India Muslim di Terengganu banyak menjual rojak mee ini lalu dipelajari oleh orang melayu, menambah ayam sebagai aksesori rojak lalu dinamakan Rojok Keling.


Teringat masa kecil, di Paka banyak tanah ditanam dengan tanaman tembikai, tidaklah besar-besaran sangat, sekarang tidak kelihatan lagi...banyak pula rumah taman dan proses perbandaran, selari dengan pembangunan Loji Gas, Petroleum dan Petrokimia di Paka dan Kertih.

Wednesday, February 18, 2009

Göng

Göng.

Di dalam bas, ada dua orang perempuan, seorang makcik dalam umur 40an, seorang wanita berumur 20an. Menaiki bas Thong Aik dari Stesen Kemaman yang berdekatan dengan Pasar Bandar Chukai, Kemaman. Mereka berdua menaiki bas dari stesen tersebut menuju pulang ke Dungun. Bas mulai berjalan, dan konduktor bas ( penjual tiket bas ) mula menjual tiket dari kerusi penumpang yang pertama yang berdekatan dengan pemandu.

Konduktor bas tersebut memakai pouch ( beg pinggang ) yang mungkin dipenuhi dengan duit kertas dan syiling. Menjual tiket sambil mengetip lubang pada kertas tiket yang banyak nombor. Sampai ke tempat kedua-dua wanita tersebut, tiket diketip, dan makcik dan wanita muda tersebut menghulur duit - membayar harga tiket. Kedua-duanya membayar tiket harga untuk ke Dungun. Sesudah itu,konduktor bas tersebut pergi ke kerusi-kerusi penumpang yang lain. Bas penuh. Sampai ke belakang konduktor bas tersebut akan menjual tiket bas tersebut.

Makcik yang berumur 40an, membelek tiketnya. Dia hairan mengapa terlalu banyak nombor, dan ada dua nombor yang diketip berlubang. Lalu dia bertanya wanita muda di sebelah :

Makcik : Bakpe dia ketip tiket ni belubang-belubang gini? Dari dulu mokcik dok tahu bakpe?

Wanita muda : ( Dalam hati - Hoh! Terkejut aku... ).

Makcik : ( Dalam hati - Senyap-k je budok ni, takmboh jawab-k soalan-g aku ke? ).

Wanita muda : ( Masih mendiamkan diri )

Makcik : Hmm...( Dalam hati - Göng sungguh budok nih... ).

Masing-masing mendiamkan diri. Bas meneruskan perjalanan seperti biasa. Sampai di Paka, seorang pemeriksa tiket bas naik. Diperiksanya tiket-tiket bas satu persatu. Pemeriksa tiket ini mengoyak sedikit tiket di sebelah atas. Selepas itu, makcik tersebut meneruskan perbualan setelah sekian lama menyepi sepanjang perjalanan tadi.

Makcik : Bakpe dia suke sangat-k koyok tiket nih...

Wanita muda : ( Masih mendiamkan diri dan buat-buat pandang ke arah tingkap bas )

Makcik : ( Dalam hati - Memang soh göng budok nih... )

Setelah bas melewati sekitar Kampung Batu 48, wanita muda ini menulis sesuatu di belakang tiketnya. Selepas itu, wanita tersebut menyelitkan tiket tersebut di celah tingkap bas. Makcik itu hanya sekadar mengerling sahaja tingkah laku wanita muda tersebut. Hampir sampai dengan Bank CIMB Dungun, wanita muda itu bangun dan menekan loceng. Bas memberi isyarat ke kiri dan berhenti. Wanita muda itu bergerak dan mengelakkan sedikit kakinya supaya tidak terkena makcik di sebelahnya. Makcik di sebelahnya memberi laluan kepada wanita muda itu lalu menyapa sekali lagi.

Makcik : Duduk Göng Pasir ke ?

Makcik itu bertanya dan meneka.

Wanita muda : ( Senyum )

Wanita muda itu berlalu hanya dengan muka tersenyum sedikit. Mungkin rasa bersalah. Setelah wanita muda itu turun, makcik muda itu cepat-cepat mengambil kertas yang diselitkan wanita muda tadi di celah tingkap bas. Lalu dibuka dan membacanya.

"Assalamualaikum makcik, saya minta maaf banyak-banyak kat makcik. Bukan sombong tak melayan pertanyaan dan perbualan makcik. Cuma saya terkejut makcik tidak memberi salam dulu sebelum berbual dengan saya. Saya pulak bukan orang Terengganu, saya orang KL, baru sangat datang belajar kat Dungun ni, saya tak paham apa makcik cakap, salah jawab malu. Ampun dan maaf ."

Makcik itu tersengih : Laaa...patutla...mokcik maafkanlah ye... kalu jupe smula mokcik cakap bahasa KL ( Kata makcik dalam hati sambil memandang wanita muda tersebut dari dalam bas ).

Bas masih bergerak menuju ke Stesen Bas di Kuala Dungun...


Glosari

Göng
Sombong

Göng Pasir
Nama kampung dalam daerah Dungun ; Kampung Göng pasir

Monday, February 16, 2009

Kampung Warisan Nelayan

Terjumpa satu pelan perancangan kerajaan Negeri Terengganu dalam laman rasmi atau Portal Rasmi Negeri Terengganu Darul Iman. Ia berkenaan pelan Rancangan Tempatan Daerah Dungun 2007 - 2015. Ia amat menarik dan bagus untuk dibangunkan kawasan tertentu di daerah Dungun, tetapi Awang harap tiada kampung atau tanah-tanah orang Melayu Dungun akan menjadi korban demi pembangunan.

Tidak mahu apa yang terjadi di Kuala Terengganu ( dibaca : Kampung Ladang ) terjadi di Dungun. Harap mungkin satu kelompok kampung warisan seperti di negeri Melaka boleh diwujudkan di daerah Dungun ini. Mungkin boleh dinamakan Kampung Warisan Nelayan di sekitar Kuala Dungun, Kampung Sungai Udang, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya, Kampung Seberang Pintasan mahupun juga Kampung Rajawali dan Kampung Pulau Serai.


Ada artikel menarik tulisan Tuan AG aka Awang Goneng, disilakan membacanya.

Sunday, February 15, 2009

Teranung atau ganu?

Satu

Orang di pantai barat Semenanjung Malaysia selalu menggelarkan orang Terengganu dan negeri Terengganu sebagai Ganu. Pelik. Kebanyakan orang Terengganu lebih gemar menggunakan istilah Teranung Tranung, Teranu, Tranu dan Teganu. Orang dari Besut dan Kelantan banyak menggelarkan Terengganu sebagai Ganu. Mungkin orang di pantai barat mendengar daripada mereka ini lalu menggunakan istilah yang sama digunakan walhal rata-rata orang Terengganu memanggilnya sebagai Teranung atau Tranung, Teranu atau Tranu dan ada yang menyebut Teganu - mengikut tempat atau daerah.

Dua

" Mung nok gi Teranung dok?
Kamu nak pergi ke Terengganu ke?

"Nok gi Teranung wak mende, kita duk Teranung doh ni"
Nak pergi ke mana, kita sekarang pun dalam negeri Terengganu.

Di manakah Teranung dalam negeri Terengganu Darul Iman ini? Orang-orang di Terengganu apabila berbual sesama sendiri seperti contoh dialog di atas, apabila menyebut hendak pergi ke Teranung / ada di Teranung / duduk di Teranung - ia adalah bermaksud Kuala Terengganu iaitu ibu negeri bagi negeri Terengganu dan salah satu daerah dalam negeri Terengganu. Jika perbualan khusus untuk menceritakan negeri Terengganu, maka mungkin perkataan Teranung tersebut untuk menggambarkan negeri Terengganu. Jadi, perlu faham betul-betul.


Jika anda ada dengar lagu Blues Terengganu Kita, anda tidak akan dengar Saleem menyebut Na Na Na Ganu Kite.

Saturday, February 14, 2009

Lagu Kanak-Kanak Terengganu ( iv )

Pok Itang Na Na
Pok Kasing Dogo
Pok Itang dok kena
Pok Kasing dok tego

4 rangkap lagu pantun lama kanak-kanak Terengganu. Mungkin sekarang sudah tidak kedengaran lagi. Mungkin kanak-kanak sekarang sibuk bermain pc game atau playstation. Lagu pantun ini menggambarkan dua orang lelaki yang tidak kenal satu sama lain dan lalu tidaklah tegur sesama sendiri.

Pok Itang adalah Pak Hitam, Pok Kasing adalah Pak Abdul Kassim ( orang Terengganu suka memendekkan nama orang dan ditambah ng atau g di belakang nama-lihat nama Kasing, sepatutnya untuk nama Allah yang digunakan oleh manusia perlu disebutkan dan diejakan dengan perkataan Abdul Kassim ).

Perkataan Na Na mungkin ada kaitan dengan nama panggilan orang India Muslim yang biasa dipanggil Nana ( terutama di negeri Pulau Pinang ), dan mungkin Pak Hitam itu ialah orang India Muslim, dan Pak Abdul Kassim itu ada seorang yang dogol iaitu berkepala botak. Jadi pantun ini digunakan untuk memberi perumpamaan terhadap dua orang yang saling tidak kenal mengenali ( dok kena bermaksud tidak kenal, dok tego bermaksud tak tegur ).

Wednesday, February 11, 2009

Same gele

Same gele.

Bas telah sampai ke satu kawasan yang dipenuhi dengan kedai-kedai yang berwarna-warni. Satu kawasan kedai yang menjual pakaian, kain-kain yang dikira ela dan meter. Bas sekolah ( bukan Geng Bas Sekolah ) yang disewa oleh oleh satu badan jawatankuasa dalam kampung di daerah dalam negeri Terengganu, dipenuhi dengan abang-abang, kakak-kakak, pakcik-pakcik dan makcik-makcik. Turun ke selatan untuk membeli belah. Nilai 3 dan Nilai Square - kawasan menjual pelbagai barang.

Turunlah rombongan ini dan masing-masing menghala ke arah kedai-kedai di sekitar Nilai 3 untuk membeli barang-barang yang dikehendaki. Dua orang mak cik ini yang jangok sekali, mengerlip bajunya, pergi ke satu kedai kain. Di kedai tersebut terjadilah perbualan tawar menawar membeli satu pakaian.

Mok Cik 1 : Lawo nye baju ni mek oiii...aku nok beli se la...

Mok Cik 2 : Molek sungguh ni, memang lawooo...kilak-t kain-g dia...

Mok Cik 1: Kilak-t sunggoh! Tapi malu la, aku tua doh, paka-paka kang orang kate jangok sangak aku ning...

Mok Cik 2 : La...ni baju hok kite paka ni pung doh jangok sangak-sangak la jugok, nok malu mende...

Seorang penjual wanita muda hanya memerhati di sebelah mereka yang sedang membelek-belek baju kurung yang mengerlip tergantung di penyangkut yang digantung pada palang di bawah bumbung kedai.

Mok Cik 1 : Mek comeiii weiii...ni berape harga baju kurung ni mek...

Penjual Wanita : Ssayo kalau mlotak rogo memang bopatutan! Yang ni ha soratuih, tak kurang, tak lobih.

Mok Cik 2 menyampuk tak menyempat-nyempat : Hoh! Maha-l ngak...orang kate Nilai 3 ni orang jua muroh-muroh...

Mok Cik 1 : Hoh! Betu-betu...

Penjual Wanita : Dah apo pullak yang mahal eiy? Kalau diboli kain elo tuh ha, sepasang ampek mito ei dah makan 80 tuh. Bolum poie menompah eiy laiey. Murah la sini, dah siap sopasang soratuih.

Mok Cik 1 : Hoh! Mung kate macam-ng aku dok reti, aku tahulah...

Penjual Wanita : Dah, cayo eiy la cakap sayo nih. Yang ini ha, memang berpadanan! menyogholah kojolitaan macik nih ha. Memang bokonan di mato la meningokkan eiy.. takdo sayo cakap buhung do..

Mok Cik 1 : Aku rase aku nok beli la baju ni...

Mok Cik 2 : Mung takmboh tra paka ke dulu...kang dok padan-g

Mok Cik 1 : Aku rase kena tra la...aku rasa macam-ng dok padan-g, kalu aku paka same gele je dengan-g aku ni...

Mok Cik 2 dan Penjual Wanita tiba-tiba sama-sama bersuara : Memang same gele...

Mok Cik 1 terlopong terkejut mendengar penjual wanita muda tersebut menyebut perkataan yang jarang-jarang sebenarnya digunakannya bahkan dalam negeri Terengganu itu sendiri.

Mok Cik 1 : Mung tahu ke sama gele tu mende?

Penjual Wanita : Apo pullak tak tahu. Baju nih muek, tapi sondat. Cam buah nangko besarung guni. Sondaaatt..

Mok Cik 1 : Panda-i mung, dok seke pulok...doh dakpe la weiii... meh kita gi kedai lain-g...

Penjual Wanita : Laa.. Camno baju nih, macik? Tak jadi ?

Mok Cik 1 dan Mok Cik 2 sama-sama bersuara : Kang aku doh kate...same gele...

Dalam bas...

Mok Cik 1 : Takdi aku rase pelik, bakpe penjua kain-g hok mude tadi tu tahu bahase kite, kite pulok tahu bahase dia...

Mok Cik 2 : Hoh! Bahasa Melayu ni dekak-dekak makna dia, tuh bulih paham-ng kot...

Mok Cik 1 : Ye la...tapi aku suke sebuk-t istilah Bahasa Melayu daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Jiwa Bangsa...

Mok Cik 2 : Setuju-setuju...



Di bawah ini adalah glosari slanga Terengganu, untuk slanga Negeri Sembilan...lu pikirlah sendiri...

Sama gele
Padan muat-muat, sendat, ketat - perkataan ini untuk pakaian yang muat dipakai tetapi ketat.

Jangok
Berpakaian cantik

Kilak
Kilat

Paka
Pakai

Sangak
Sangat

Mende
Apa; kadang bermaksud Kenapa ( mengikut struktur maksud sesuatu ayat )

Jua
Jual

Muroh
Murah

Betu
Betul

Kate
Kata

Maha
Mahal

Nok
Nak

Mung
Kamu

Takmboh
Tak mahu

Dakpe
Tak apa

Bakpe
Kenapa

Dekak
Dekat

Sebuk
Sebut

Friday, February 6, 2009

Ghepé, Réngbak

( Sila bayangkan mereka bermain bola dengan menutup aurat-memakai seluar panjang )


Perlawanan telah tamat. Pasukan dari daerah Dungun berjaya mengikat kedudukan seri 0-0. Mungkin pasukan Arsenal tidak menggunakan kekuatan yang sebenar dalam perlawanan persahabatan jelajah Terengganu. Kita ikuti temuramah wartawan tempatan dengan Arsene Wenger.

Wartawan : Apakah pendapat anda tentang perlawanan sengit yang berlangsung tadi?

Arsene : Aku rasa hebak. Walaupung takdi hanye perlawanan-g persahabatan-g jelajoh Teranung. Ia memberikan-g aku idea nok tengok kat-k mane belubang, dan-g kat-k mane kene ghepé.

Wartawan : Maksud pasukan anda masih perlukan pembaikian dalaman dalam soal formasi dan teknik permainan bola sepak?

Arsene : Memang doh!

Wartawan : Apakah pendapat anda dengan gaya permainan bola sepak tempatan, disebabkan pasukan anda hanya melawan pasukan daerah dalam sebuah negara yang hanya kecil di benua Asia.

Arsene : Hoh! Dok seke pulok. Terlalu hebak. Rase Dok caye pasukan-g kami ni dokleh réngbak ke dalam-ng gol, goli kapong ni panda jjereba, panda takak bola.

Wartawan : Pasukan anda menggunakan pemain yang hebat-hebat, Sebelas Utama (First Eleven), tetapi masih tidak berjaya untuk menjaringkan gol, adakah pasukan anda hanya bermain di bawah tahap sebenar kerana menganggap ini hanya perlawanan persahabatan dan bertemu dengan hanya pasukan kerdil?

Arsene : Dok jugok, jangan-g kate gitu. Mung pung sendiri tengok semuanya First Eleven. Bukan-g calang-calang. Aku suruh doh main-g molek-molek sebab-k kite nok tengok kat-k mane kene diperbetulkan-g.

Wartawan : Adakah anda berminat untuk menawarkan pemain-pemain pasukan dalam daerah ini untuk diserapkan dalam pasukan anda?

Arsene : Memang doh! Aku duk perati tadi striker, pemain-g back dan-g goli. Aku ingak nok tanya. Mung tahu nama-nama dia dok?

Wartawan : Saya rasa anda boleh berjumpa sendiri dengan pengurus pasukan tersebut. Soalan terakhir, apa pendapat anda tentang daerah Dungun ini?

Arsene : Lawo. Banyok pokok nyo, kambing jalan-g ngate rawe, kat England mane ade. Dok capor lembu kuba lagi, tapi pata lawo, memang lawo. Makanan-g pun sedak-sedak. Banyok hok ada rase ikan-g. Aku rase pemain-g bola sini kuak-kuak sebab makang ikan-g banyok ni. Lagi satu, aku pelik bakpe takdok Stadium Bola sini? Main-g kat-k padang terbuke gini je. Patut-k ade se. Ni pung kami ikut doh main-g bola sini kena pakai seluo panjang, kene tutup aurat. Jadi baguh doh gitu, jadi wak la se stadium besor, budok-budok sini pung panda main-g bola. Mung kabo la ke wakil rakyat tuh, se lagi aku nok tanya mung, bakpe mung dok tanya aku dalam bahase Teranung?

Wartawan : Encik. Maaf saya orang KL, faham sikit-sikit.

Arsene : Laaaaaaaaaaaa... doh mung paham-g dok aku cakap-k dari takdi nih.

Wartawan : Errr...faham sikit-sikit, saya dah rakam temuramah ini, dan selepas ini saya akan tanya kawan saya untuk terjemahkan.

Arsene : Ho... gitu pulok. Blajolah, aku orang luar negara pung buleh cakap, dok kang mung dok leh. Doh-doh ah, aku nok gi makan-g ni, ikang dan sotong celuk tepung kat Taman-g Selera Teluk Lipat. Mung nok ikuk maghilah, aku belanja.

Wartawan : Beres...........

Arsene : Hoh! Bab makan-g laju je...


Glosari

Takdi
Tadi

Ghepé
Baiki ; Repair

Dok seke
Tak sangka

Dok caye
Tak percaya

Réngbak
Rembat atau merembat bola

Hebak
Hebat

Panda
Pandai

Takak
Tangkap

Pemain back
Pemain pertahanan ; defend

Lawo
Lawa

Ngate rawe
Merata-rata / berkeliaran

Dok capor
Tak campur

Kuba
Kerbau

Pata
Pantai

Sedak
Sedap

Bakpe
Kenapa

Takdok
Tiada

Se
Satu

Seluo
Seluar

Wak
Buat

Kabo
Khabar / Beritahu

Maghi
Mari