Friday, July 31, 2009

Dungun : Lirik Lagu Tak Bermelodi


Ini lirik lagu aku. Masih tidak bermelodi. Ceritanya tentang semua. Tentang kita anak jati Dungun - yang memiliki, yang tinggal tetap di sini, yang membangunkan, mempertahankan warisan, yang segalanya. Aku membayangkan lagu ini bermelodi ceria, ringan dan mudah ditangkap telinga. Tidak sarat seperti lagu puisi, tidak berat seperti rentak asli melayu. Hanya mudah seperti lagu-lagu sekarang yang dikatakan catchy. Siapa mahu buat lagunya? Entahla...

( Lokasi Gambar - Kampung Padang Jambu- Bukit Chatak sempadan Bukit Tebuk ).

Thursday, July 30, 2009

Pewaris Anak Dungun

Tuesday, July 28, 2009

Masjid Kampung Sungai Udang

Kali ini penulis ingin paparkan beberapa gambar dan sedikit artikel tentang Masjid Kampung Sungai Udang, Dungun, Terengganu Darul Iman.

Di bawah ini adalah Masjid Kampung Sungai Udang yang lama. Antara Imam yang terawal di sini ialah Allahyarham Haji Zainal Abidin ( dikenali dengan nama Tok Guru Haji Bidin - masjid yang dinamakan dengan nama Allahyarham terletak di Sura Gate ). Allahyarham Haji Zainal Abidin menjadi Imam pada tahun 1950 setelah Solat Jumaat dipindahkan daripada Kampung Tengah dekat Balai Bomba ke Masjid Sungai Udang setelah masjid ini siap dibina hasil derma orang ramai dan kayu company bijih. Allahyarham Haji Zainal Abidin bersara daripada jawatan imam di masjid ini pada tahun 1951 - rujukan daripada Buku Warisan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu dan Cawangan Dungun, Tahun 1989, Bilangan 5.



Menara azan yang masih utuh.



Beberapa papan tanda masjid yang menggunakan rekabentuk senibina rumah tradisional Terengganu.




Masjid baru yang masih dalam pembinaan.



Papan tanda JKR. Di sebelah kanan adalah masjid baru yang masih dibina, manakala di sebelah kini adalah masjid lama.


Monday, July 27, 2009

Terengganu Dalam Potret Filem

Beberapa filem telah meletakkan wajah Terengganu sebagai latar belakang. Terkini filem Wayang lakonan Eman Manan kelahiran Terengganu telah mengambil daerah Dungun sebagai potret filem. Pencarian di dalam internet mengatakan bahawa kawasan penggambarannya adalah di Pantai Batu Pelanduk, Kuala Abang.

Sebelum ini filem Wanita Melayu Terakhir mengambil kawasan Kuala Terengganu dan sekitar Kuala Ibai sebagai latar belakang. Filem Debu-Debu Kasih lakonan Sham Visa dan Aida Aris juga mengambil panorama negeri Terengganu. Filem ini ada sedikit dialek Terengganu, yang agak menarik walaupun bercampur baur sedikit dengan dialek Kuala Lumpur.

Filem Kotak Pejabat ( Box Office ) iaitu filem Fenomena, yang mengisahkan sedikit sejarah Bukit Besi, tetapi penulis percaya kawasan tersebut bukanlah Bukit Besi, tetapi kawasan lain dalam negeri Terengganu dan hanya mengambil sejarah bukit besi sebagai jalan ceritanya. Agak pelik apabila Bukit Besi digambarkan berhampiran dengan pantai dalam cerita tersebut.

Filem-filem lain ialah Spinning Gasing yang mengambil imej Bandar Kuala Dungun tetapi sayangnya filem ini mempunyai Adegan Yang Tak Ingin Kita Lihat. Filem lama iaitu Sepi Itu Indah lakonan Lidyawati juga mengambil latar belakang negeri Terengganu.

Bagi filem iklan pula, terdapat satu iklan lama Petronas untuk hari raya - yang menceritakan kakitangannya yang pulang ke kampung setelah turun dari helikopter dan lalu menaiki kereta melalui jambatan Sungai Paka. Satu lagi iklan Petronas untuk hari raya yang dikenali dengan dialog Ombak Jahat, mungkin mengambil imej di sekitar pantai Terengganu? Mungkin. Dahulu dalam tahun 80an, ada satu iklan Lucky Strike yang mengambil imej di tepi pantai - dikatakan kawasan tersebut ialah di sekitar pantai Kuala Abang.

Selepas ini...di mana lagi Terengganu Dalam Potret Filem?

Sunday, July 19, 2009

Pantun : Sajian dan Tempat

[Pembuka Kata]

Ikan Aye dibuat singgang,
Cicah pula tempoyak belacan,
Kuala Dungun ombak tak renggang,
Pemula daerah bermula pekan...

[Cerita]

Ketupat sotong bukan dianyam,
Dimakan begitu kuahnya menimbun,
Ke Tanah Lot jumpa bersalam,
Tempat mastautin keturunan Tambun...

Mencari rempah daun pisang semua,
Bakar Otak-otak ikan tenggiri,
Moyang Mahmud membuka Sura,
Kini bermula bandar berseri...

Nasi Minyak hidangan pengantin,
Dicari jua setiap pagi,
Kalau ke Sura membeli kain,
Pesan kita bertandanglah lagi...

Sata dibakar berdaun pisang,
Dijual di pasar setiap Khamis,
Ke Sura Hujung Jumaat petang,
Mencuba cinta mengayat manis...

Kuih Nganang kuih lama,
Hidangan jiran dan tetamu,
Tiga Sura kampung lama,
Makin masyhur madrasah ilmu...

Nasi Dagang acar mentimun,
Pulut lepe asalnya panggang,
Ke Teluk Lipat jangan mengelamun,
Cubalah main wau layang-layang...

Nasi Kunyit nama diberi,
Pulut Kuning nama lainan,
Hati sayu memandang sepi,
Sungai Dungun tempat mandi-mandian...

Lékor dan Göndé asalnya sama,
Itulah keropok nama diberi,
Sungai Udang bukan hanya Melaka,
Nama seiras tempat tidak seperti...

Asam Gumpal Asang Gupa,
Rasa manis bila dimakan,
Kampung nelayan Kampung Bijangga
Di tepi sungai rumah kediaman...

Laksam dihidang membuka selera,
Röjök Katéh pedas sekali,
Bakar ikan di Sungai Buaya,
Pengkalan Macang siapa kenali?

Nasi Kapik Nasi Himpit asalnya
Pagi pula dibawa bekalan,
Pengkalan Tengku Jaafar di mana pula?
Silalah kita bertanya jalan...

Keping dihiris dijemur mentari,
Keropok Keping dipanggil nama,
Nibong Bawah jauh sekali,
The Mel pula di situ sahaja...

Roti Payang di dalam Tempayan,
Di sebelah barat Nan namanya,
Ke Padang Jambu mencari sarapan,
Warung kedai enak makanannya...

Pasar Ahad menjual juadah,
Ada tepung bungkus tepung pelita,
Bukit Tebuk laluan berubah,
Ditar dilampu tiada gelap gelita

Murah sekali Tepung Pasung,
Dibeli juga paih inti tenggiri,
Hebat juga Pulau Serai ditanggung,
Pulaunya air tiada dikelilingi...

Asang glugo timun cina,
Asam keping buah tembikai,
Rajawali kampung lama,
Dalamnya dekat Masjid Pulau Serai...

Gulai kuning pekat ikan kembung,
Nasi acar kobis makan bersudu,
Alor Rekam Tok Kah semua berkampung,
Tempat orang belajar memandu...

Pulut Gaul Nyö santapan pagi,
Lepas makan mata pun kuyu,
Bemban, Lintang, dan Bukit Pak suri,
Semua itu Kampung Melayu...

Temose dan Karipap macam sama,
Kecil besar hidangan tetamu,
Datuk Nakhoda datang ke sana,
Bukit Lambor membuka tanah baharu...

Sayur Téné dan Sambal Sotong,
Aye dicicah kicap berlada,
Ke Sungai Pimpin singgah Batu Tiong,
Kampung Pelandang jangan dilupa...

Ketupat Palas digoreng petang,
Berbuka Nekbat di bulan Ramadhan,
Kertas Pulas, Kuala dan Rantau Abang...
Kampung berpantai semuanya berjiran...

Lompat Tikam selalu dicari,
Terlalu manis makanlah sikit,
Kampung Rhu Batil aman sekali,
Tempat berpaya berpasak bukit...

Kuih Hasidah dan Brönök Sagu,
Dihidang petang manis rasanya,
Petang hari ke pantai selalu,
Ke Tanjong Jara juga Teluk Bidara...

Bingka Ubi kuih tradisi,
Kopi panas hidang bersama,
Seberang Pintasan dekat sekali,
Jambatan baru tinggi terasa...

Röjök Keling Röjök Betik buah,
Makanannya lain awalannya serupa,
Kampung Göng Pasir Kampung Pak Sabah,
Se Masjid kita dikongsi bersama...

Aiskrim Goreng pelik namanya,
Roti ais berbalut santapan baru,
Tanjung Pati nama lamanya,
Makam Diraja terletak di situ...

Makan Akök petang selalu,
Akök dibeli pasar Isnin,
Binjai, Serdang, Delong dan Keliu,
Semua Melayu tidaklah lain...

Sedap sungguh kuih Nganang,
Habis dijual dibeli ramai,
Padang Pulut, Pinang Mas, dan Dendang,
Kampung lama di tepi sungai...

Tok Aji Serban bukanlah orang,
Nama kuih sedap santapan,
Kampung Wa simpang Kuala Berang,
Ke Jerangau Sungai satu jalan...

Koleh Kacang ada tak lagi?
Puas mencari sini dan sana,
Zaman lombong zaman keretapi,
Bukit Besi itulah sejarahnya...

Kuih Slemang dan Belede namanya,
Makanan lama bukannya baru,
Al-Muktafi Billah Shah di mana letaknya?
Disebut Durian Mas baru tahu...

Onde-onde buah melaka,
Sama kuihnya namanya lain,
Kita ke sungai ke Bumbung Raja,
Pelbagai ikan berenang bermain...

Kayu Khamak nama diberi,
Cakoi pula kuihnya serupa,
Ke Pasir Raja kita ziarahi,
Kubu Mat Kilau ada di sana...

Makan Ikan Celup Tepung,
Mari makan di tepi sungai,
Kampung Shukor, Sungai Loh dan Chemerung,
Tempat berkelah dikenali ramai...

Di dalam kertas Sagöng dibungkus,
Suka dimakan oleh budak-budak,
Nak ke Paka jalannya lurus,
Dulunya berbelok berhati bergerak...

Air Nira dibeli lepas bersalam,
Dengan penjual di tepi jalan,
Durian Mentangau simpang ke dalam,
Tempat ladang tanam tanaman...

Taik Itik jangan disalah
Itu nama makanan kita
Kampung Nyiur, Pinang Merah dan Tebing Tembah
Tercatat dulu banjir melanda...

Tergigit lada pedas sekali,
Bila makan Sarok Lada
Kampung Santong tidak menyepi,
Lalu lalang orang bekerja...

Pukat Buruk itu makanan,
Kalau nak makan ambil di dapur,
Dari Paka terus ke depan,
Jalan Kemaman Ke Kuala Lumpur...

[Penutup]

Goreng Sotong Bercelup Tepung,
Untuk dimakan selepas berkebun,
Jauh di lubuk hati kita di kampung,
Sayangi Dungun kian membangun...

Tuesday, July 14, 2009

Pantun : Hati Terendap di Dungun

[Pengenalan]

Bunga alamanda tiada wanginya
Berwarna kuning laksana pulut di hari raya,
Ku tanam cinta pada pantainya,
Berwarna emas indah biru ombaknya…

Loceng alamanda tanda dalam negeri,
Hijau daun renek pohonnya,
Aku hirup hembusan bayu sepi,
Di depan luas pantai teluknya…

[Dungun]

Dari pohon nama diberi,
Tidak ternampak dalam daerah,
Kenapa hati sayu begini,
Terkenangkan ikan aye dan merah…

[te duduk]

Kuala Dungun bertanjung api,
Panduan orang laut ke darat muara,
Aku berdiri di tepi terendap di hati,
Merindu saat te duduk mainan lama…

[Uitm Dungun]

Kampung Gong Pasir orangnya tidaklah Gong ,
Begitu orangnya di Kuala dan Rantau Abang,
Saat bunga ilmu mekar di Teluk Gadong ,
Mungkin cinta si penuntut tiada lekang…

[Jambatan Dungun]

Tiada jalan berbukit lagi,
Ke Bukit Besi teruh ke lurus,
Jambatan Dungun telah diganti,
Jambatan lama jangan dilupa terus…

[Bukit Besi,Rantau Abang dan…]

Bukit besi kian suram,
Rantau Abang penyu merajuk perasaan,
Hati ini kian geram,
Mengapa tiada pasaran pekerjaan…

[Penutup]

Gate, Jetty , Hujung semuanya Sura,
Kampung lama silam sejarahnya,
Hati ini masih terendap rasa,
Pada kuala di buka Panglima…