Dua petikan akhbar Sinar Harian, ucapan terima dan kredit atas cakna sekali lagi terhadap warisan Terengganu.Berita 1Rumah ‘Pagar Ruyung’ diroboh NIBONG - Nostalgia manis seorang warga emas di rumah pusaka peninggalan arwah moyangnya bakal berakhir apabila rumah papan berusia lebih 100 tahun itu difahamkan akan dirobohkan tidak lama lagi.
Rumah tradisional bercirikan seni bina Pagar Ruyung yang hanya menggunakan pasak kayu tanpa sebarang paku besi itu akan digantikan dengan sebuah rumah baru bercirikan seni bina lebih moden.
Pemiliknya, Hasiah Sulong, 78, yang masih sihat ketika ditemui berkata, rumah itu dibina moyangnya dikenali sebagai Che Leh yang dipercayai membina rumah itu pada akhir abad ke-18.
“Arwah bapa saya menceritakan bahawa tok ki saya sering belayar. Dia yang dikatakan berasal dari Pagar Ruyung, Indonesia ketika itu singgah di muara Sungai Kuala Dungun lalu membina penempatan di sini sebelum membina sebuah rumah untuk dijadikan tempat berlindung.
“Oleh kerana dia adalah orang Pagar Ruyung, jadi budaya masyarakat di sana dibawa ke sini. Hasilnya, rumah yang dibina mirip kepada seni bina negara seberang itu. Oleh itu, tiada sebarang paku digunakan pada rumah ini, rekaannya juga unik dan jarang kita melihat rumah seperti ini di sini,” katanya.
Isteri bekas pekerja lombong bijih di Bukit Besi yang pernah menjalani kehidupan semasa zaman penjajahan Jepun itu meluahkan, dia amat sedih selepas mengetahui rumah pusaka peninggalan arwah moyangnya itu akan diro-bohkan.
“Banyak kenangan di rumah ini. Di sinilah saya lahir, dibesarkan malah melangsungkan perkahwinan. Tetapi, apa boleh buat, saya tiada kuasa untuk menghalangnya.
“Jika ada pihak yang boleh memeliharanya, ia adalah satu artifak yang boleh dijadikan bahan sejarah untuk tatapan generasi akan datang. Apa yang makcik tahu, rumah ini sudah dijual kepada seseorang,” kata isteri kepada arwah Mohd Ismail, yang juga seorang nakhoda kapal.
Berita 2Rumah Pagar Ruyung menyembah bumi NIBONG BAWAH - Rumah bersejarah Pagar Ruyung yang menjadi kebanggaan Hasiah Sulong, 78, akan menjadi 'padang jarak padang tekukur' apabila harta peninggalan arwah moyangnya itu akhirnya dirobohkan, semalam.
Kisah rumah lebih sedekad itu mendapat perhatian ahli sejarah terkenal di daerah ini, Abdul Wahab Yunus.
Beliau turut berada di lokasi untuk meninjau kerja meleraikan struktur bangunan kayu yang menjadi simbol seni bina masyarakat dari Pagar Ruyung itu.
Abdul Wahab yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Dungun meluahkan kekecewaannya kerana bahan sejarah itu disifatkannya tidak wajar dilenyapkan, sekali gus menggagalkan usaha pihaknya mengekalkan warisan bersejarah bagi tatapan generasi akan datang.
“Rumah seperti ini tiada lagi berdiri megah di Dungun sebagai daerah yang bersejarah, keaslian seni bina rumah Pagar Ruyung tidak ada tolok bandingnya berbanding kediaman moden lain pada masa kini.
“Rumah Pagar Ruyung juga setanding dengan hasil arkitek lain dan mempunyai nilai komersial lebih tinggi jika martabatnya diangkat serta diberi perhatian sewajarnya dari persepsi individu yang menghargainya,” kata bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan itu.
Beliau yang juga bekas wakil rakyat kawasan Hulu Dungun berpendapat, setiap individu yang mempunyai aset sedemikian mesti memeliharanya daripada pupus kerana setiap bahan lama mempunyai nilai komersial jika dikendalikan dengan baik.
“Ia boleh dijadikan sumber pendapatan untuk tujuan pelancongan, bagaimanapun dalam hal ini saya bersyukur kerana pihak yang membeli rumah Pagar Ruyung ini berhasrat membina semula dengan mengekalkan seni bina asal,”katanya.
Sementara itu, pembeli rumah itu, Nazari Hasan, 45, berkata, dia akan memastikan proses pembinaannya tidak mengetepikan elemen struktur asal kediaman itu.
Bagi Hasiah pula, tiada lagi rumah yang meninggalkan banyak nostalgia dalam hidupnya.
“Rumah ini milik moyang saya, dibina ketika zaman sebelum perang lagi dan sebagai orang tua, saya tidak mampu melakukan apa-apa,” katanya.
Ulasan aku.Itulah rumah lama. Rumah Allahyarham Moyang Salleh - dalam berita akhbar tersebut ditulis sebagai Che Leh. Berita ini tersiratnya menyatakan kebenaran sejarah tentang pendatang dari
Ranah Minang berhijrah ke Terengganu, khususnya ke Dungun. Rumah tersebut telah lama terbiar. Dijual kepada seorang pembeli dan dengar ceritanya bukan diroboh terus tapi dibina semula mengikut asal. Ia diroboh dan pindah, ke mana tak pasti. Rumah tersebut lama berdiri megah di Nibong Bawah. Akhir Jun lalu telah menjadi berita gempar dalam keluarga tentang rumah tersebut bakal dijual dan dipindahkan.
Dulu masa kecil teruja mendengar cerita tok, tentang tokki saudara yang tidur malamnya terkejut bom perang Jepun jatuh di sebelah katil. Rumah inilah. Sedih? Ya aku sedih. Kini tinggal rumah tokki aku sendiri yang mungkin antara rumah lama, mungkin tidak Pagar Ruyung, sekurang-kurangnya adalah rumah lama di perkampungan Nibong Bawah.
Pesan aku kepada pemilik baru, jagalah rumah tersebut sebaiknya.